Unit Operasi
Unit Operasi merangkumi komponen teras yang mementingkan pembangunan terhadap pengoperasian penerbangan domestik serta antarabangsa sambil memastikan penyeliaan terhadap pematuhan keselamatan melalui pelaksanaan kawal selia yang berkesan. Unit tersebut merangkumi beberapa aspek utama, antaranya, Penerbangan Pengangkutan Udara Komersil (CAT), Penerbangan Am (GA), Pengawasan, Keselamatan Kabin, Pengendali Udara Asing, Pengendalian Darat (GH), dan Barangan Berbahaya (DG).
Unit Pelesenan
Unit Pelesenan bertindak sebagai komponen penting dalam memastikan keselamatan dan kompetensi seseorang kakitangan kru penerbangan dalam melakukan tugasan berkaitan penerbangan awam. Unit tersebut mengawal selia setiap piawaian dan keperluan yang telah ditetapkan dengan cara melakukan penyeliaan terhadap bidang berkaitan termasuklah Pelesenan Kru Penerbangan (FCL), Organisasi Latihan yang Diluluskan, Peperiksaan Pelesenan, Peranti Simulasi Latihan Penerbangan (FSTD), Pemeriksa Penerbangan yang Ditentukan (DFE), dan juga Pemeriksa Kesihatan yang Ditentukan (DME).
Unit UAS
Unit UAS, ditubuhkan pada awal 2021, bertanggungjawab dalam mengawal selia sebarang aktiviti penerbangan UAS serta kerja-kerja penguatkuasaan terhadap kapal udara tanpa pemandu tersebut. Memandangkan industri ini dilihat masih di peringkat awal, Unit UAS juga komited dalam menyebarkan kesedaran serta memberi kefahaman kepada pihak awam betapa peri-pentingnya memahami perundangan sedia ada serta mengutamakan keselamatan ketika mengendalikan sebarang jenis UAS.
Unit Pengendalian Darat
Unit Pengendalian Darat berfungsi secara menyeluruh dalam memastikan ketercapaian aspek keselamatan dan kepatuhan oleh kesemua Penyedia Perkhidmatan Pengendalian Darat. Ini dapat dicapai dengan cara pengawasan aspek penting termasuklah perkhidmatan pelanggan, pengendalian kargo dan bagasi, katering, serta kerja-kerja penyelenggaraan.
Unit Dangerous Goods
Unit Barangan Berbahaya merupakan unit penting yang bertanggungjawab menguatkuasakan Program Pengangkutan Barangan Berbahaya Kebangsaan (NTDGP) dengan memastikan kepatuhan terhadap tatacara pengoperasian dan tatacara pengendalian barangan berbahaya yang selamat melalui udara. Unit Barangan Berbahaya komited terhadap penambah-baikan berkaitan tatacara pengurusan barangan berbahaya dan beriltizam memastikan organisasi yang terlibat dengan barangan berbahaya mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
Unit Medikal Penerbangan
Unit Medikal Penerbangan memantau fungsi kritikal Program Perakuan Perubatan melalui pelaksanaan polisi seperti yang telah di rangka oleh ICAO Aviation Medical Standards. Unit tersebut juga penting dalam menyediakan perkhidmatan perubatan dan nasihat sokongan bagi tujuan penyiasatan kemalangan udara, kru penerbangan dan penumpang, serta piawaian terhadap Pemeriksa Kesihatan yang Ditentukan (DME).